Penyanyi Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi memberitahu pelakon dan penyanyi, Marsha Milan Londoh kini berada di bawah pengurusannya iaitu Laugh Out Loud Entertainment yang baru beroperasi hampir dua bulan.
Dafi, 24, yang turut bergelar Pengarah Urusan syarikat tersebut berkata, keputusan mengambil Marsha adalah tidak sukar kerana dia telah mengenali rapat dengan artis jelita itu.
"Kami sudah berkawan lama dan rasanya lebih mudah bekerja dengan orang yang kita kenal baik.
"Tambahan pula Marsha memang sedang mencari pengurusan baru selepas tamat kontrak dengan Alibi Music," ujarnya kepada
Namun katanya, perbincangan telah dibuat terlebih dahulu antara kedua-dua belah pihak bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan.
Dafi memberitahu, setakat ini syarikat miliknya telah merancang beberapa agenda untuk Marsha selain menguruskan jadual lakonan dan nyanyiannya.
"Marsha telah memberitahu apa yang dia inginkan dan apa yang perlu kami lakukan. Walaupun kami berkawan tetapi perniagaan harus diberi keutamaan supaya tidak menyusahkan kedua-dua belah pihak.
"Insya-Allah saya mampu menjalankan tugas sebagai pihak mewakilinya dan harap dapat memberikan kerjasama baik kepadanya," katanya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai syarikat miliknya, Dafi berkata setakat ini dia baru mempunyai dua orang kakitangan dan berharap ia akan berkembang maju.
Dia menjadikan trio adik-beradik iaitu kumpulan KRU sebagai pemangkin semangat untuknya terus maju dalam industri hiburan sekali gus dapat menyumbang kepada lapangan yang diceburi itu.
"KRU sentiasa menjadi idola saya dalam apa juga mereka lakukan dan sentiasa ingin mencontohi mereka baik dari sudut karier sebagai artis mahupun perniagaan. Saya mahu berjaya seperti mereka suatu hari nanti," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbarunya, Dafi berkata dia bakal merakamkan kembali lagu daripada kumpulan R&B Amerika Syarikat iaitu 4PM berjudul Sukiyaki dalam Bahasa Malaysia.
Dafi berkata, lagu yang diberi tajuk Bila Cinta Tiada Lagi itu turut mendapat sentuhan komposer terkenal, Ajai untuk susunan dalam Bahasa Malaysia.
"Saya pernah membawa versi asal lagu tersebut pada persembahan teater Kenangan Mengusik Kalbu tahun lalu dan tertarik untuk merakamkannya dalam Bahasa Malaysia," ujarnya.
Tambahnya, lagu tersebut akan dijadikan single terbarunya yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Dafi berkata, dia ingin mengurangkan aktiviti lakonan kerana ingin menumpu perhatian kepada dunia nyanyian dan perniagaan.
Ujarnya, tahun 2012 adalah untuk dirinya terus memajukan diri sebagai ahli perniagaan dan penyanyi selepas banyak menerima tawaran berlakon pada tahun lalu.
"Bukan tidak lagi minat berlakon tetapi rasanya dah terlalu banyak ambil tawaran pada tahun lalu. Jadi tahun ini ingin kembali tumpu pada nyanyian dan perniagaan," katanya.
Leave a respond
Post a Comment