CERITA Misha Omar hendak berkahwin,
sudah berkahwin termasuk didakwa berkahwin lari atau menjadi isteri
ketiga kepada seorang usahawan automotif pernah menjadi cerita hangat
sejak beberapa tahun lalu.
Penat juga dia menepis segala terjahan
yang hampir semua pelurunya tersasar daripada tujuan asal. Akhirnya
kerana terlalu lelah, dia memilih untuk membungkam diri. Ajaibnya, cara
itu berkesan. Cerita tentang perkahwinannya hanyut mengikut gelombang
masa.
Faktanya, Misha akan bertunang dalam masa terdekat manakala berkahwin sekitar hujung tahun ini.
“Bagaimanapun semuanya bergantung atas perbincangan keluarga kedua-dua belah pihak,” ujar Misha.
Ah, jejaka yang akhirnya berjaya mengajak penyanyi Bunga-Bunga Cinta dan Pulanglah itu bukan lelaki asing dalam dirinya.
Cinta mereka pernah
kandas-sambung-kandas dan akhirnya dicantum semula sebelum sebulat suara
tidak perlu terlalu ego untuk cuba menidakkan jodoh antara mereka.
Jejaka itu, Firos Ezzwan Rossly, 30,
seusia dengan si manis Misha. Dibesarkan di Subang Jaya, Selangor, Firos
merupakan juruterbang syarikat Penerbangan Malaysia Bhd. (MAS).
Bukan lelaki berkerjaya hebat atau
kerabat diraja yang dikejar Misha, sebaliknya jejaka tersebut dipilih
kerana dia mempunyai aura tersendiri.
“Dia tawarkan saya sesuatu yang tidak
pernah saya fikir. Dia tawarkan saya untuk menjadi pelengkap kepada anak
angkat saya, Adam Emir yang akan mencecah usia 7 tahun pada tahun
hadapan.
“Dia mahu memimpin Adam ke sekolah sama
seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang mempunyai ibu dan bapa. Tawaran
itu terlalu mahal untuk saya lepaskan,” ujar Misha.
Bukan sekadar tawaran itu sahaja. Misha
mengaku, sejak mengenali Firos lima tahun lalu, dia adalah sahabat,
kekasih, bekas kekasih dan kini bakal menjadi tunangan yang terbaik
pernah hadir dalam hidupnya.
“Saya ada banyak sisi hitam dalam hidup.
Dia sentiasa ada di sisi saya, walaupun satu ketika dahulu (tahun lalu)
sewaktu kami berpisah, dia terpaksa mendengar luahan hati dan cerita
cinta saya yang memang pada waktu itu hampir berkahwin dengan seseorang.
Dia gigih bertahan!” tambahnya lagi sambil ketawa mengekeh.
Tersenyum mendengar luahan Misha, Firos kemudian menjadi sasaran pertanyaan.
Mengapa dia begitu setia menunggu Misha
yang tidak kering gosip dengan lelaki, sementelah dia juga artis popular
yang boleh memilih sesuka hati lelaki mana untuk dijadikan suami.
Mengapa Firos terlalu yakin bahawa Misha
ialah destinasi cintanya yang sejati. Juga, bagaimana Firos boleh
terlalu cool menjadi pendengar setia cerita cinta bekas kekasih sendiri
yang mahu berkahwin dengan orang lain.
“Siapa kata saya setuju dia nak kahwin orang lain?” soal Firos sambil ketawa.
Dia kemudian menyambung: “Memang masa
dia telefon cakap nak kahwin dengan seseorang, saya ucap tahniah, tapi
dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Saya jerit dalam hati – please no,
please don’t! Tapi ia tak terkeluar dan syukur memang dia tak jadi
kahwin dengan orang lain tetapi Insya-Allah akan menjadi isteri saya.”
Tambah Firos lagi, sejak pertama kali
berkenalan dengan Misha, dia yakin bahawa Misha ialah jodohnya dunia
akhirat. Kerana itu dia tidak mahu berganjak daripada menjadi pemuja
setia wanita itu dan ternyata impian untuk menikahi Misha hampir
terlaksana.
Mengaku saat mereka berpisah dia juga
sempat menjalin cinta dengan wanita lain, namun semuanya tidak berjaya
dan tidak seperti percintaannya yang sederhana tetapi kaya dengan kasih
sayang bersama penyanyi yang juga aktif sebagai pelakon itu.
Menjawab persoalan tentang kesukaran bercinta dengan seorang artis, Firos memberitahu tidak berhadapan dengan kesukaran.
“Mungkin sebab saya bercinta dengan
Samihah Omar (nama sebenar Misha), bukan Misha. The artist I adore, the
women I love (artis yang saya puja, tetapi wanita yang saya cinta). Saya
tak perlu menjadi orang lain, begitu juga dia,” kata Firos.
Sambil ketawa, Firos memberitahu, kesukaran yang dihadapinya adalah untuk membuat orang percaya bahawa Misha ialah kekasihnya.
“Ramai yang tak percaya saya kekasih
Misha. Macam baru-baru ni, kami ke sebuah restoran makanan segera. Ada
yang bertanya kepada saya, ‘abang betul ke tu Misha Omar?’ Bila saya
jawab ya, mereka tanya lagi, ‘dia siapa dengan abang?’ saya jawab
kekasih, tetapi mereka tak percaya sebaliknya cakap saya pengawal
peribadi Misha,” ceritanya yang juga mengaku sukar mempercayai bahawa
dia adalah kekasih seorang penyanyi popular Malaysia.
Kini saat sedang menghitung hari menjadi
pasangan bertunang dan seterusnya menjalani fasa kehidupan sebagai
suami isteri, pasangan tersebut sepakat untuk menjalani realiti
berumahtangga secara sederhana.
“Keputusan kami untuk hidup bersama
adalah tanpa perjanjian kemewahan dunia, namun ia adalah persefahaman
untuk menuju syurga bersama dengan seadanya,” kata Misha.
Biar sedang mekar meniti tangga bahagia,
kerjaya yang ada tetap berjalan lancar. Setelah sekian lama tidak
muncul dengan single, kini Misha akan kembali dengan single baharu
berjudul Angin Syurga hasil karya Datuk M. Nasir bersama penulis lirik
Budhhi Hikayat.
Selain Angin Syurga, Misha juga
merancang untuk mempunyai beberapa single lagi. “Saya juga akan terus
dengan genre balada selain cuba mengembalikan irama balada padang pasir
seperti lagu duet dengan Andy Flop Poppy, Sembunyi,” katanya yang sedang
sibuk dengan penggambaran drama untuk tayangan Aidilfitri nanti, Bonus
Hari Raya.
Dalam masa yang sama, Misha kini baru dilantik menjadi duta produk kecantikan Shisheido untuk keluaran White Lucent (Skin Care).
Leave a respond
Post a Comment